No man is such a conqueror as the man who has defeated himself

Info | PUNB komited bantu siswazah

TIDAK banyak badan penyelaras yang memfokus kepada pembangunan siswazah dalam memberi peluang kepada mereka untuk mendalami selok-belok dunia perniagaan.

Dengan mewujudkan Program Siswazah Perantis (PSP), badan nasional pembangunan usahawan Bumiputera iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) terus komited membantu golongan siswazah melalui program terbabit.

Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri, bersama Pengurus Besar Bahagian Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah (gambar) mengenai hala tuju PSP yang boleh diambil bagi mereka yang ingin menjadi usahawan.

SEJAK bila Program Siswazah Perantis (PSP) diperkenalkan PUNB dan bagaimana ia dapat membantu golongan siswazah ketika ini?
Program ini diperkenalkan sejak Mac 2009 dengan objektif menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan kepada golongan siswazah.

Semua pemegang ijazah, diploma dan sijil kemahiran tahap dua digalakkan untuk menyertai program ini dan paling penting mereka akan didedahkan kepada pembelajaran sebenar pengurusan perniagaan selain kursus dan latihan teori.


Apakah kelebihan dan objektif program ini kepada golongan siswazah?
Peserta program berpeluang meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tertentu sebagai persediaan menjadi usahawan ataupun sebagai pekerja yang mahir.

Program ini bukan saja dapat melahirkan bakal usahawan dinamik, tetapi juga pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam bidang peruncitan, pengedaran dan pengilangan.

Selain itu, antara objektifnya ialah meningkatkan kemahiran siswazah muda mengikut keperluan industri supaya mudah mendapatkan pekerjaan, memberi peluang kepada siswazah muda menceburi bidang perniagaan khususnya bidang peruncitan dan pengedaran serta mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan siswazah.

Apakah sasaran PUNB dalam melahirkan lebih ramai siswazah yang menceburi bidang perniagaan?
Untuk 2011 ini, kami menyasar bagi menambah kira-kira 500 lagi perantis di bawah program PSP ini dan kami yakin jumlah itu dapat dicapai memandangkan ia peluang terbaik untuk mereka menceburi bidang keusahawanan.

Setakat November 2010, seramai 2,473 siswazah sudah menyertai program ini dengan purata usia 25 tahun dan program latihan PSP juga dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dengan menempatkan siswazah terpilih di 380 syarikat naungan PUNB dan juga syarikat lain.


Apakah keunikan Program Siswazah Perantis PUNB?
Keunikannya dapat dilihat dari segi syarat penyertaan yang sangat mudah iaitu perlu berusia tidak melebihi 30 tahun sewaktu memohon dan pemegang ijazah, diploma atau sijil kemahiran (Tahap 2) dari institusi diiktiraf kerajaan. Mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berminat menjadi usahawan juga digalakkan untuk menyertai program ini.

Selain itu, perantis diberikan elaun sara diri bulanan sebanyak RM800 sepanjang program manakala tempoh latihan adalah antara enam bulan atau setahun bergantung kepada perniagaan dan perantis berpeluang mendalami selok-belok perniagaan di samping latihan teori dan amali keusahawanan serta kursus penyediaan Rancangan Perniagaan melalui mentornya (syarikat).

Jika memenuhi syarat, perantis layak mendapat pembiayaan di bawah Skim Prosper Siswazah untuk memulakan perniagaan sendiri.


Bagaimanakah untuk memohon program ini dan apakah bidang perniagaan yang boleh dipilih bagi program ini?

Perantis boleh memilih mana-mana bidang perniagaan yang tersenarai untuk tujuan program ini dan ia merangkumi semua jenis segmen perniagaan yang lazimnya mendapat permintaan di kalangan usahawan.

Antaranya adalah automotif (kereta dan motosikal), telekomunikasi dan peralatan komputer, pendidikan & pusat asuhan, perkhidmatan profesional seperti perakaunan, khidmat hadiah, cenderahati dan bunga, buku atau alat tulis, barangan kemas, pakaian, tekstil, aksesori, kosmetik, khidmat kecantikan, sukan dan rekreasi, percetakan, automasi pejabat, peralatan logam dan bahan binaan, farmasi, optikal, restoran, kedai runcit, pengilangan makanan, bahan industri, kejuruteraan dan pelbagai lagi.

Bagi mereka yang berminat, borang pendaftaran boleh didapati daripada Sekretariat Prosper secara percuma dan untuk maklumat lanjut boleh melayari www.punb.com.my atau hubungi 03-2785 1515 atau talian bebas tol PUNB, 1300-13-7862.






Sumber : myMetro | PUNB komited bantu siswazah

PROTECT NOW !!! Perunding Takaful KamiNajib ( T50133P ) : 0162085201 ( najib.maatakaful@gmail.com )Helmi ( T50132X ) : 0192721772 ( helmi.maatakaful@gmail.com)

0 comments:

Post a Comment