No man is such a conqueror as the man who has defeated himself

Buletin Bijak Wang | Caj hospital swasta terkawal

Posted by maatakaful In , | 0 comments»
Jadual baru bayaran diumum Mac tetapkan harga siling mudahkan pemantauan

KUALA LUMPUR: Garis panduan dan jadual baru bayaran profesional serta caj hospital swasta yang akan diumumkan Mac ini, membolehkan Kementerian Kesihatan mengawal kenaikan kos rawatan dengan memastikan tiada pihak mengenakan caj yang tidak munasabah kepada rakyat.

Ia disebabkan garis panduan dan jadual baru itu akan menetapkan bayaran siling kepada doktor dan pakar, selain kos rawatan di hospital swasta dikawal menerusi pindaan Jadual Ke-13 mengenai Fi Profesional, Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006.

Difahamkan melalui garis panduan baru itu, pihak hospital swasta perlu memaklumkan kos anggaran yang sepatutnya dibayar pesakit, termasuk kos di luar jangkaan, sebelum mereka diberikan rawatan atau dimasukkan ke wad bagi memberi pilihan kepada orang ramai membuat perbandingan.

Ketua Pengarah Kesihatan yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, penetapan caj maksimum itu akan membolehkan kerajaan memantau perkhidmatan yang diberikan di hospital swasta mengikut jadual bayaran ditetapkan.

“Melalui garis panduan itu, kita akan dapat pantau apa diberikan kepada rakyat dan pastikan tiada lonjakan harga (caj) yang berlebihan,” katanya kepada Berita Harian.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan garis panduan dan jadual baru bayaran doktor dan pakar serta kos rawatan di hospital swasta akan diumumkan Mac ini, selepas kali terakhir dikaji pada 2004.

Dijangka 30,000 doktor dan pakar di hospital kerajaan serta swasta bakal menikmati kadar bayaran baru selain hospital terbabit dijangka mengawal kadar bayaran bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan di hospital masing-masing.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr David KL Quek berkata bayaran kepada doktor terutama doktor pakar sudah 10 tahun tidak dikaji dan langkah kerajaan meminda jadual berkenaan tepat pada masanya bagi menjaga kebajikan pengamal perubatan di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan doktor pakar yang mengenakan caj berlebihan sebagai punca kepada kenaikan kos penjagaan kesihatan sejak akhir-akhir ini.






Sumber : Berita Harian Online | Caj hospital swasta terkawal

0 comments:

Post a Comment