No man is such a conqueror as the man who has defeated himself

4,786 staf Jabatan Pelajaran sertai Skim Takaful

Seramai 4,786 petugas Jabatan Pelajaran Johor menyertai Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok (GPA) yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin berkata, kesemua mereka terdiri daripada petugas pengurusan, pengendalian dan keselamatan peperiksaan jabatan tersebut.
Katanya, sebaik sahaja skim itu diperkenalkan sambutan yang diberikan petugas berkenaan menggalakkan kerana bayaran hanya dikenakan RM14 setahun berbanding penyertaan individu kira-kira RM50 setahun.
“Kami galakkan mereka menyertai skim ini kerana mereka ini terdedah dengan kerja seperti mengawal selia kertas-kertas soalan peperiksaan.

“Kerja-kerja seumpama ini perlu skim tersebut kerana mereka terdedah dengan pelbagai risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Taklimat Pengurusan, Pengendalian dan Keselamatan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.
Selepas itu, Sufaat menyampaikan cek pampasan kepada dua balu yang suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika bertugas.
Mereka yang menerima pampasan itu ialah, Zuina Hussain, 48, balu kepada Yaaccob Markom dan Zainab Hassan, 54, balu kepada Mohd. Rasit Asan, yang masing-masing menerima cek pampasan bernilai RM10,000, dari Takaful Ikhlas.
Sementara itu, Zuina yang ditemui berkata, suaminya meninggal dunia akibat diserang sakit jantung pada 27 April lalu.
Suri rumah sepenuh masa dan ibu empat anak itu berkata, wang tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi menyara keperluan harian dan pelajaran anak-anaknya.
“Saya bersyukur dengan wang pampasan itu, kerana dapat meringankan bebanan keluarga serta menambah pendapatan yang kini menyara kehidupannya dengan menjual kuih di Bachok, Kelantan,” katanya.
Begitu juga dengan Zainab yang menyifatkan pemergian suaminya merupakan satu kehilangan yang amat dirasai beliau dan empat anaknya.
Zainab yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Senggarang, Batu Pahat berkata, suaminya yang berjawatan Penyelia Kawasan Daerah Batu Pahat, meninggal dunia pada 9 Mac lalu kerana serangan jantung.
Katanya, wang pampasan yang diperolehi akan digunakan bagi membiayai pelajaran dua anaknya yang masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).


Sumber: Utusan Malaysia, 23hb Ogos 2010

0 comments:

Post a Comment