No man is such a conqueror as the man who has defeated himself
Showing posts with label bil hospital. Show all posts
Showing posts with label bil hospital. Show all posts

Buletin Bijak Wang | Sebut harga sebelum rawat

Elak pesakit hospital swasta bayar caj terlalu tinggi, buat pilihan


KUALA LUMPUR: Hospital swasta kini perlu memaklumkan secara terperinci dan telus mengenai caj profesional serta caj anggaran dan di luar jangkaan sebelum pesakit diberi rawatan atau dimasukkan ke wad.

Ini bertujuan membolehkan pesakit membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan asalkan mereka ada maklumat mencukupi mengenai caj yang akan dikenakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata langkah itu adalah antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat yang diadakan Kementerian Kesihatan, Jumaat lalu, untuk membincangkan langkah bagi mengekang kenaikan kos jagaan kesihatan yang melampau di hospital swasta tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan disediakan.

Mesyuarat itu dihadiri Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ketua pegawai eksekutif dan orang bertanggungjawab bagi hospital swasta, wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO), syarikat insurans, kumpulan profesional serta profesional perseorangan.

Mesyuarat itu diadakan sebulan selepas Berita Harian mendedahkan ramai individu gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit yang digunakan untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta.

Pada mesyuarat itu, kementerian menegaskan pihaknya akan memperkukuhkan fungsi untuk mengawal selia dan akan melakukan perkara berikut:

Mengkaji serta mencari penyelesaian terhadap perbezaan caj antara pesakit membayar sendiri dan mereka yang memiliki polisi insurans kerana perkara itu turut menyumbang kepada kos keseluruhan jagaan kesihatan.

Mengulangi dan menekankan bahawa diskaun hanya dibenarkan untuk caj hospital dan tidak termasuk caj profesional.

Memantau hospital swasta dan pengamal perubatan swasta bagi memastikan tiada penyalahgunaan terhadap faedah perubatan yang disediakan melalui insurans dengan menjalankan pelbagai prosedur dan pemeriksaan tidak diperlukan ke atas pesakit.

Secara berterusan akan mengarahkan pengamal perubatan swasta, hospital swasta, MCO, syarikat insurans dan pihak lain yang terbabit untuk memastikan kos jagaan kesihatan serta rawatan dikenakan adalah berpatutan dan munasabah.
Dr Mohd Ismail dalam kenyataannya semalam, berkata mesyuarat itu juga bersetuju semua MCO tidak dibenarkan campur tangan dalam keputusan klinikal dan perawatan pesakit yang dikendalikan oleh mana-mana pengamal perubatan, termasuk di klinik perubatan swasta.

Selain itu, semua perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan pengamal perubatan swasta serta kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, perlu menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa melanggar peruntukan di bawah kod tingkah laku profesional dan etika perubatan.

Beliau berkata, mesyuarat itu mengenal pasti faktor penyumbang kepada kos jagaan kesihatan termasuklah fi profesional, caj hospital dan isu berkaitan MCO serta syarikat insurans.

Ada juga hospital swasta didapati menerima tekanan daripada pemegang saham mereka untuk mengenakan caj hospital tertentu yang tinggi terhadap pesakit bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

Sehubungan itu, katanya, usaha berterusan sedang dilakukan untuk meminda Jadual Ke-13 mengenai Fi Profesional Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 bagi menangani isu kekaburan caj doktor.

“Pengurusan hospital dan MCO juga sudah diberitahu supaya jangan menyenaraihitamkan pengamal perubatan yang tidak bersetuju memberi diskaun bagi fi profesional mereka atau atas apa juga alasan, tanpa memberikan mereka amaran atau notis bertulis.

“Jika ada doktor yang didapati bertugas secara tidak beretika atau tidak bermoral, pengurusan harus melaporkannya kepada MMC,” katanya.




Sumber : Berita Harian Online | Sebut harga sebelum rawat

Buletin Bijak Wang | Wajib ambil insurans kesihatan

                      MAJIKAN terpaksa menanggung kos yang terus meningkat setiap tahun jika mahu mengambil pekerja asing. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Semua pekerja asing di negara ini akan diwajibkan mempunyai insurans kesihatan bernilai RM120 setahun mulai 1 Januari 2011.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu berikutan tunggakan bil di hospital kerajaan yang tinggi setakat ini iaitu berjumlah RM18 juta.

Beliau berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat berikutan jumlah pekerja asing yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Ini melibatkan pekerja asing kerana ekspatriat, mereka bayar. Ada yang bayar separuh, ada yang tidak bayar langsung tetapi kebanyakannya tidak bayar.

"Kita memandang serius perkara ini dan sebab itu kita melaksanakan langkah ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.


Sumber : kosmo 

Buletin Bijak Wang | EKSKLUSIF:Doktor kena caj mahal

Pengamal perubatan terkejut bil dikenakan hospital swasta tinggi


KUALA LUMPUR: Seorang doktor yang berpengalaman 25 tahun mendakwa turut menjadi mangsa caj tinggi dan tidak munasabah sebuah hospital swasta di ibu negara, selain meminta bayaran tambahan ketika disorong ke bilik Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Beliau dari Petaling Jaya, mendapatkan rawatan di hospital swasta itu pada 12 November lalu selepas sebulan mengalami sakit di kedua-dua buku lali menyebabkannya tidak dapat berdiri atau duduk dalam tempoh lama.


Oleh Syed Azwan Syed Ali

2010/11/25


Berita Harian Online | font color="red"EKSKLUSIF:/font Doktor kena caj mahal

Buletin Bijak Wang | Rintihan Pesakit

Posted by maatakaful In , , | 0 comments»

Ramai akui bil rawatan, ubat hospital swasta mahal, melampau

KUALA LUMPUR: Orang ramai mengakui kadar caj rawatan dan ubat-ubatan yang dikenakan hospital swasta mahal, tidak munasabah dan melampau walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak jauh berbeza dengan hospital kerajaan.

Ini berdasarkan pengalaman mereka selepas mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan menganggap tindakan operator hospital swasta itu membebankan pesakit.

Beberapa pembaca Berita Harian juga berpendapat ada hospital swasta mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi jenama hospital dan doktor pakar yang bertugas di hospital berkenaan untuk mengenakan kadar caj yang tinggi kepada pesakit.

Justeru, mereka meminta kerajaan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini, termasuk memantau dan mengawal kadar caj serta kos perubatan yang dikenakan hospital swasta kepada pesakit.

Seorang pembaca dalam komennya menerusi laman web Berita Harian Online (www.bharian.com.my) semalam, menggesa Kementerian Kesihatan memantau operator hospital swasta yang `menjaja status pakar dengan tujuan menarik pesakit mendapatkan rawatan dan dikenakan caj yang mahal.

Hospital swasta kerap menggunakan status pakar untuk menaikkan caj perubatan, walhal doktor yang merawat adalah doktor sambilan dari hospital kerajaan. Saya harap kerajaan benar-benar serius kerana orang ramai memilih hospital swasta bukan kerana mereka ada duit banyak, tetapi mahukan keselesaan, cepat dan perkhidmatan berkualiti, kata pembaca yang menggunakan nama Ali Abi Talib.

Doreyfien Yohanes pula menyokong jika kerajaan mengambil tindakan terhadap hospital swasta yang menjual ubat tidak diperlukan pesakit kerana ia menyebabkan kos yang perlu dibayar pesakit meningkat.

Pembaca yang menggelarkan dirinya Pak Cik Din pula berkata, kementerian perlu memantau hospital swasta terutama pemberian ubat kerana pesakit biasanya tidak mengetahui jenis ubat yang mereka perlukan untuk rawatan penyakit yang dihidapi.

Apa yang diberi hospital itulah yang diambil. Harga ubat dan kos rawatan pun pesakit tidak tahu. Mereka terpaksa melunaskan bil yang dikenakan hospital swasta, katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati orang ramai berpendapat tidak semua pesakit mampu menampung caj hospital swasta, namun tidak mempunyai pilihan kerana tidak sanggup menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana lebih mementingkan kualiti perkhidmatan berikutan sukar memperoleh perkhidmatan rawatan dalam kadar segera di hospital kerajaan.

Pesara, Murtapiah Ahmad Subari, 60, berkata beliau menghantar ahli keluarganya menjalani rawatan di hospital swasta kerana tidak mahu menunggu giliran terlalu lama di hospital kerajaan.

Tidak semua pesakit mampu menampung caj hospital swasta, namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana tidak sanggup menunggu lama bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, katanya.

Bagaimanapun, pekerja swasta, Mohd Hasrul Hamidan, 23, berpendapat tidak salah mendapatkan rawatan di hospital swasta jika mempunyai sumber kewangan atau berpendapatan tinggi.

Caj perkhidmatan rawatan di hospital swasta walaupun mahal tetapi setimpal dengan mutu rawatan yang diberikan. Persepsi gagal membayar caj yang dikenakan tidak wajar kerana pesakit dibenarkan berunding dan berhak mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah yang dimaklumkan doktor sebelum menjalani rawatan di mana-mana hospital swasta, katanya.


Berita Harian Online | Rintihan pesakit

Buletin Bijak Wang | Siasat bil ubat

Posted by maatakaful In , , | 0 comments»



KUALA LUMPUR: Sebilangan hospital swasta dikesan memberi ubat serta produk kesihatan tambahan yang kadang-kala tidak diperlukan pesakit dan harga yang dikenakan pula terlalu tinggi.

Ini adalah antara perkara yang diteliti Kementerian Kesihatan dalam kajian semula terhadap kos perubatan di hospital swasta yang dikatakan melampau dan tidak munasabah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian akan memastikan ubat yang diberi kepada pesakit lebih tepat dan mempunyai kaitan terus dengan penyakit yang dihidapi.

Kita akan lihat dari segi ubat-ubatan yang diguna dan diberikan kepada pesakit. Ada kalanya harga yang dikenakan terlalu tinggi dan kadang-kadang mereka diberi ubat yang tidak perlu, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Perubatan iHEAL di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengenai :
Kegagalan ramai individu menjelaskan hutang kad kredit dan pinjaman bank yang digunakan untuk membiayai kos perubatan hospital swasta yang terlalu tinggi.


Berita Harian kelmarin memetik Ketua Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, sebagai berkata sehingga Oktober lalu 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman bank atau kad kredit yang dirujuk kepada agensi itu membabitkan perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Liow berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, sudah diarah mengadakan segera perbincangan menyeluruh dengan semua pemilik hospital swasta negara ini berhubung kos perubatan yang dikatakan terlalu tinggi.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan kajian semula yang dilakukan turut membabitkan yuran doktor serta perubatan hospital swasta bagi memastikan ia lebih efisien dan munasabah.

Kita jangkakan kajian mengenai yuran doktor itu akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, manakala kajian ke atas yuran perubatan hospital swasta sedang dilaksanakan, katanya.

Liow berkata, peningkatan kos perubatan berlaku pada kadar 12 peratus setiap tahun dan kebanyakannya disumbangkan oleh faktor penjagaan pesakit di dalam wad.

Oleh kerana itu kerajaan menggalakkan rakyat mengambil serius langkah penjagaan kesihatan dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan. Lebih banyak pengetahuan kesihatan yang kita peroleh, lebih banyak penyakit yang boleh dicegah sekali gus mengurangkan kos perubatan, katanya.

Liow juga berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sejumlah peruntukan disediakan untuk membina enam pusat penjagaan harian khusus untuk menjaga pesakit di waktu siang dalam beberapa bidang perubatan.

Pusat ini boleh membantu mengurangkan kos perubatan di hospital kerana biaya yang perlu dikeluarkan untuk tujuan ini sangat tinggi. Dengan adanya pusat ini, ia banyak membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka, katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kementerian menerima 51 permohonan untuk membuka pusat seumpama itu di seluruh negara, manakala 31 pusat sudah memulakan operasi membabitkan kepakaran dalam bidang optalmologi, perbidanan dan sakit puan, endoskopi, pembedahan plastik, radioterapi dan onkologi, radiologi, perubatan sukan dan pergigian.

Semua pusat ini tertakluk di bawah Peraturan Perkhidmatan dan Kemudahan Kesihatan Swasta 2006 dan pesakit perlu segera dihantar ke hospital jika berlaku kes kecemasan yang memerlukan pengawasan rapi doktor, katanya.

Berita Harian Online | Siasat bil ubat

Buletin Bijak Wang | Parah bil hospital

 


Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.

Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata
Kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

“Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.

“Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.

Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

“Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik,” katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara.

Berita Harian Online | Parah bil hospital