No man is such a conqueror as the man who has defeated himself
Showing posts with label perubatan hospital. Show all posts
Showing posts with label perubatan hospital. Show all posts

Buletin Bijak Wang | Sebut harga sebelum rawat

Elak pesakit hospital swasta bayar caj terlalu tinggi, buat pilihan


KUALA LUMPUR: Hospital swasta kini perlu memaklumkan secara terperinci dan telus mengenai caj profesional serta caj anggaran dan di luar jangkaan sebelum pesakit diberi rawatan atau dimasukkan ke wad.

Ini bertujuan membolehkan pesakit membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan di mana-mana kemudahan serta perkhidmatan jagaan kesihatan asalkan mereka ada maklumat mencukupi mengenai caj yang akan dikenakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata langkah itu adalah antara persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat yang diadakan Kementerian Kesihatan, Jumaat lalu, untuk membincangkan langkah bagi mengekang kenaikan kos jagaan kesihatan yang melampau di hospital swasta tanpa menjejaskan kualiti jagaan kesihatan disediakan.

Mesyuarat itu dihadiri Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ketua pegawai eksekutif dan orang bertanggungjawab bagi hospital swasta, wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO), syarikat insurans, kumpulan profesional serta profesional perseorangan.

Mesyuarat itu diadakan sebulan selepas Berita Harian mendedahkan ramai individu gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit yang digunakan untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta.

Pada mesyuarat itu, kementerian menegaskan pihaknya akan memperkukuhkan fungsi untuk mengawal selia dan akan melakukan perkara berikut:

Mengkaji serta mencari penyelesaian terhadap perbezaan caj antara pesakit membayar sendiri dan mereka yang memiliki polisi insurans kerana perkara itu turut menyumbang kepada kos keseluruhan jagaan kesihatan.

Mengulangi dan menekankan bahawa diskaun hanya dibenarkan untuk caj hospital dan tidak termasuk caj profesional.

Memantau hospital swasta dan pengamal perubatan swasta bagi memastikan tiada penyalahgunaan terhadap faedah perubatan yang disediakan melalui insurans dengan menjalankan pelbagai prosedur dan pemeriksaan tidak diperlukan ke atas pesakit.

Secara berterusan akan mengarahkan pengamal perubatan swasta, hospital swasta, MCO, syarikat insurans dan pihak lain yang terbabit untuk memastikan kos jagaan kesihatan serta rawatan dikenakan adalah berpatutan dan munasabah.
Dr Mohd Ismail dalam kenyataannya semalam, berkata mesyuarat itu juga bersetuju semua MCO tidak dibenarkan campur tangan dalam keputusan klinikal dan perawatan pesakit yang dikendalikan oleh mana-mana pengamal perubatan, termasuk di klinik perubatan swasta.

Selain itu, semua perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan pengamal perubatan swasta serta kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, perlu menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa melanggar peruntukan di bawah kod tingkah laku profesional dan etika perubatan.

Beliau berkata, mesyuarat itu mengenal pasti faktor penyumbang kepada kos jagaan kesihatan termasuklah fi profesional, caj hospital dan isu berkaitan MCO serta syarikat insurans.

Ada juga hospital swasta didapati menerima tekanan daripada pemegang saham mereka untuk mengenakan caj hospital tertentu yang tinggi terhadap pesakit bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI).

Sehubungan itu, katanya, usaha berterusan sedang dilakukan untuk meminda Jadual Ke-13 mengenai Fi Profesional Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) Peraturan 2006 bagi menangani isu kekaburan caj doktor.

“Pengurusan hospital dan MCO juga sudah diberitahu supaya jangan menyenaraihitamkan pengamal perubatan yang tidak bersetuju memberi diskaun bagi fi profesional mereka atau atas apa juga alasan, tanpa memberikan mereka amaran atau notis bertulis.

“Jika ada doktor yang didapati bertugas secara tidak beretika atau tidak bermoral, pengurusan harus melaporkannya kepada MMC,” katanya.




Sumber : Berita Harian Online | Sebut harga sebelum rawat

Buletin Bijak Wang | Parah bil hospital

 


Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.

Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata
Kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

“Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.

“Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.

Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.

Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

“Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik,” katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara.

Berita Harian Online | Parah bil hospital